JUMAAT, 21 JANUARI – Jabatan Kesihatan Kedah (JKK) mengesan enam kluster berkaitan pendidikan di mana tiga kluster baharu dilaporkan sehingga hari ini, membabitkan 253 individu positif COVID-19.
Pengarah (JKK) Kedah, Dr Othman Warijo berkata, tiga kluster baharu itu adalah Kluster Dah Padang Halban, Kluster Dah Sungai Kob dan Kluster Dah Sungai Limau.
DR Othman Warijo selaku Pengarah JKK Kedah berkata :
“Seramai sembilan lagi pelajar asrama Maktab Mahmud Pendang dikesan positif COVID-19 membabitkan Kluster Dah Penyarom menjadikan keseluruhan kes di maktab itu adalah sebanyak 108”
Dalam kenyataannya beliau berkata, kluster Dah Halban membabitkan 25 kes di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Kubang Pasu dan Kluster Dah Sungai Kob pula membabitkan 37 kes di SMK Sungai Kob, Kulim.
Manakala, Kluster Dah Sungai Limau membabitkan seramai 27 warga Sekolah Menengah Agama Saadah Al-Diniyah Al-Islamiah, Yan yang positif COVID-19.
Selain itu, beliau juga menyatakan kluster Dah Jalan Pantai di SMK Kota Kuala Muda, Sungai Petani pula, tiada pertambahan dengan kes positif kekal 33 pelajar.
Dr Othman memaklumkan, majoriti yang positif adalah pelajar di mana kesemua sekolah ini sudah diarah tutup selama seminggu.
Justeru itu, beliau menasihati orang ramai termasuk warga institusi pendidikan supaya terus patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.