KHAMIS, 20 JANUARI – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua pihak agar menerima keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) berhubung pembelian saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Mengulas lanjut beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh badan profesional itu boleh dijadikan panduan semua.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri berkata :
“…SC dah pun membuat keputusan jadi kita dah kata tadi kita serahkan kepada SC kerana ia melibatkan pembelian share…jangan kita fikir kena ikut kehendak kita…kalau pembangkang rasa kena ikut kehendak dia tidak boleh…dia kena terima keputusan daripada badan profesional seperti SC itu…”
Suruhanjaya Sekuriti dalam satu kenyataan semalam membuat keputusan tiada pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Suruhanjaya Sekuriti menjelaskan bahawa bukti bebas yang dikumpulkan pada siasatan akaun dagangan Azam menunjukkan bahawa Azam ialah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan berkenaan.