RABU, 19 JANUARI – Kelemahan teknikal yang berlaku pada penggunaan sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio, RFID disebabkan oleh kelemahan kepimpinan dari pihak pengurusan tertinggi PLUS dalam mengurus projek mega berskala besar ini.
Demikian pandangan Jurutera Pakar, Ir Ts Lukman Al Hakim terhadap sistem berkenaan yang menerima rungutan ramai penggunanya pada hari awal pelaksanaannya pada sesetengah pintu tol di seluruh negara.
Tambah beliau, sehinggalah tamat tempoh ujian yang panjang dan menerima maklum balas pengguna, pihak pengurusan PLUS boleh mengambil langkah proaktif bagi penambahbaikan sistem, serta beberapa prosedur lain.
Mengulas lanjut penggunaan itu, beliau yang juga Setiausaha Agung BERJASA juga berkata antara proses lain ialah menggiatkan kempen kesedaran dan makluman kepada seluruh pelanggan serta melaksanakan transformasi secara lebih berperingkat.
Bagi saya selain masalah teknikal kejuruteraan, isu yang lebih besar ialah pengurusan projek dan pengurusan pelanggan dan satu pasukan khas juga perlu dibentuk untuk menangani isu yang telah berlaku (crisis management) supaya kepercayaan rakyat kembali dipulihkan
Beliau juga tidak menafikan terdapat kelemahan dari sudut pengguna yang perlu diberi lebih panduan oleh pihak syarikat tol berkenaan sebelum pelaksanaan sistem berkenaan.
Tidak dapat dinafikan ada kelemahan dari pihak pengguna sendiri contohnya menggunakan pelekat RFID yang masih belum aktif, kesilapan dalam pemasangan dan lain-lain namun menjadi tanggungjawab pihak PLUS dalam mendidik dan memastikan penerangan yang lengkap telah diberikan dalam pelbagai medium maya mahupun interaksi fizikal.