RABU, 12 JANUARI – Dalam pada itu, menerusi sidang media khas yang sama, Tan Sri Abu Zahar turut menyatakan kekecewaan beliau terhadap enam anggota lembaga LPPR yang mengeluarkan kenyataan berhubung pemilikan saham Azam Baki tanpa memaklumkan beliau terlebih dahulu.
Menurutnya, beliau percaya kenyataan media itu dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada satu pihak.
Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berkata :
“…tetapi pada tarikh 8 hb mereka keluarkan kenyataan and they have meeting on themself without tell me. So what can I do? So kenyataan yang dibuat oleh ke enam anggota itu amatlah saya kesali…”
Abu Zahar turut menyatakan kronologi perhubungan beliau bersama ahli-ahli jawatankuasa LPPR sehingga berlakunya ke enam-enam anggota itu mengeluarkan kenyataan media pada 8 Januari 2022.
Menurutnya, pada 7 Januari pada jam 6:19 petang, Datuk Seri Azman Ujang telah menghantar pesan menerusi aplikasi whatsapp yang memberitahu mengenai isu ini yang semakin hangat.
Kemudian, pada jam 6:22 petang, Datuk David Chua Kok Tee telah memberi maklum balas kepada Datuk Seri Azman Ujang dan menggesa LPPR mengadakan mesyuarat dan perbincangan segera.
Rentetan itu, pada jam 6:27 petang, Tan Sri Ismail Omar turut memberi maklum balas dan menyatakan perjumpaan akan diadakan pada 11 Januari.
Susulan daripada pandangan dan permintaan itu, Abu Zahar menyatakan persetujuan untuk mengadakan perjumpaan tertutup pada tarikh 11 Januari 2022, jam 10:00 pagi di Pejabat Akademi SPRM di Jalan Duta Kuala Lumpur.
Bagaimanapun katanya, pada 8 Januari 2022, kesemua enam ahli LPPR tersebut telah mengadakan mesyuarat antara mereka terlebih dahulu tanpa memberitahu beliau dan mengeluarkan kenyataan media.
Dalam pada itu, Abu Zahar menegaskan bahawa siasatan berkaitan dakwaan salah laku membabitkan Azam masih terbuka untuk diteruskan.