SELASA, 11 JANUARI – Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyifatkan tindakan kerajaan menangguhkan kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari lalu, adalah tidak wajar.
Ia susulan kebenaran merentas negara selain daripada ibadah itu, bahkan urusan-urusan lain masih berjalan seperti biasa.
Setiausaha Kerja MUIS, Ustaz Muhammad Hafizuddin Jamil berkata, penangguhan urusan ibadah tanpa sebab kukuh bukanlah suatu pengurusan yang baik.
“Ini kerana jika vaksin terbukti menyumbang kepada penurunan kes kemasukan hospital, sekali gus mengurangkan risiko kematian akibat jangkita COVID-19, maka tiada lagi sebab munasabah untuk menghalang urusan-urusan kehidupan termasuk menunaikan ibadah umrah atas alasan mengekang jangkitan COVID-19,”
– Setiausaha Kerja MUIS, Ustaz Muhammad Hafizuddin Jamil
Dalam satu kenyataan MUIS, beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan tahap risiko sebenar jangkitan ke atas mereka yang telah lengkap divaksin.
Tambahnya, ini kerana jika vaksin terbukti menyumbang kepada penurunan kes kemasukan hospital, sekali gus mengurangkan risiko kematian akibat jangkitan COVID-19, maka tiada lagi sebab munasabah untuk menghalang urusan-urusan kehidupan termasuk menunaikan ibadah umrah atas alasan mengekang jangkitan COVID-19.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu mengemukakan langkah-langkah yang lebih menjamin maslahah dan memudahkan urusan rakyat dalam beribadah.
Pada 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan keputusan penangguhan sementara perjalanan umrah berkuat kuasa 8 Januari, bagi mengurangkan risiko penularan varian Omicron dan memperlahan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia.