ISNIN, 3 JANUARI – Pas berpegang dengan keputusan untuk melebarkan Muafakat Nasional (MN) dan meneruskan kerjasama yang terjalin antara parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Itu pendirian yang ditegaskan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Jelas Abdul Hadi, agenda bagi memperkukuhkan PN dalam kerajaan merupakan persetujuan bersama.
Memetik tulisannya dalam ruangan ‘Minda Presiden’ yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini.
Abdul Hadi menambah, bagi meneruskan kelangsungan perubahan dalam politik, semua parti harus bergabungan dengan PN berlapang dada menerima asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan dan menolak mana-mana parti yang berpendirian bercanggah daripada itu.
Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS berkata :
“PAS pernah bersama UMNO menubuhkan Barisan Nasional (BN) yang sudah tidak berfungsi secara berasingan yang telah ditolak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Maka, PN ialah pembaharuannya dalam bentuk yang lebih besar,”
Abdul Hadi menambah, perjuangan PAS bukanlah atas dasar nasionalisme yang sempit sebaliknya aqidah perjuangan parti itu adalah berlandaskan Islam.
Oleh itu, masyarakat Malaysia yang didominasi bangsa Melayu yang beragama Islam berusaha menyatukan bangsa itu bermula dengan penyatuan tiga parti besar iaitu UMNO, BERSATU dan PAS dalam MN.