JUMAAT, 31 DISEMBER – Agensi swasta terutamanya Badan Bukan Kerajaan, NGO dan orang perseorangan perlu memahami selain memastikan keadaan di satu-satu lokasi terlebih dahulu bagi mengelakkan lambakan sumbangan dan pembaziran.
Menurut Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri yang juga mengetuai Koordinasi Sukarelawan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi setiap kawasan ada perbezaannya yang tersendiri mengikut status banjir kerana sesetengah kawasan sudah pulih dan mangsa sudah boleh pulang untuk membersihkan rumah kediaman masing-masing.
Mohamad Nizam Marjugi, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor berkata :
“…. Dalam kita punya koordinasi ini untuk NGO-NGO ini juga, kita tak nak dia berada dalam tempat yang tidak dibenarkan masuk pada ketika itu kerana kalau kita tengok Sri Muda ni lebih lambat surut dari tempat-tempat lain, kebanyakan orang dia tertumpu kepada tempat-tempat orang pada ketika itu Sri Muda adalah tumpuan sedangkan, banyak tempat lain yang sangat terkesan kita tengok bila berlaku di Hulu Langat di Bukit Lancung dan di Taman Batu Tiga itupun dia agak teruk, cuma media menjurus kepada Batu 3 semua NGO nak masuk ke Batu 3….”
Dalam pandemik wabak COVID-19 pada ketika ini, penelitian terhadap pergerakan sukarelawan amat penting bagi mengelakkan jangkitan.
Mengulas mengenai kecaman pelbagai pihak yang menyatakan agak terlambat untuk mewujudkan pusat koordinasi sukarelawan ini memandangkan bantuan dan pelbagai misi persendirian telah digerakkan.
Jelasnya, turunlah sendiri ke Dusun Nanding dan lokasi-lokasi yang teruk terjejas bagi melihat sendiri kesan pasca banjir ini untuk membantu dari hanya mengkritik tanpa asas.
Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor ini berkata lagi bahawa :
“…. Pada saya apa pendapat di luar sana kita boleh biarkanlah, kadang-kadang lebih pandai bercakap daripada menghulurkan bantuan, dan kadang-kadang dorang tak ada masa pun bantu kerana banyak masa kat telefon dan media sosial… Kenapa kita perlu turunkan bantuan-bantuan itu….”
Setakat ini, hanya 15 badan bukan kerajaan, NGO yang berdaftar dengan Pusat Koordinasi Sukarelawan Negeri Selangor.
Walaupun jumlahnya kecil namun, anggota sukarelawan yang dikoordinasikan pusat itu setakat ini ke lokasi terjejas banjir dari 18 Disember lalu adalah 1500 orang iaitu ke Taman Sri Muda dan Batu Tiga di Shah Alam selain Kuala Selangor dan Dusun Nanding di Hulu Langat.