SELASA, 28 DISEMBER – Tauliah mengajar agama Islam yang telah diberikan kepada aktivis politik akan ditarik balik oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkuat kuasa 31 Disember ini.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, keputusan itu bagi menjunjung titah Sultan Selangor agar agama Islam tidak dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik di masjid dan surau oleh mana-mana pihak di negeri itu.
(Kenyataan Media Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) / sumber : FB MAIS)
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini beliau berkata, Sultan Selangor menitahkan agar tauliah mengajar agama Islam di Negeri Selangor yang telah diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember 2021 bagi menjaga kesucian agama Islam di Negeri itu.
Jelasnya, Sultan Selangor tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Negeri Selangor serta mencemarkan agama Islam.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang telah dikeluarkan kepada pemegang tauliah di negeri ini.
Walau bagaimanapun, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.
Abdul Aziz berkata, pengecualian ini juga adalah selaras dengan titah Sultan Selangor.