SABTU, 25 DISEMBER – Selepas banjir di Sungai Lui, Hulu Langat mulai surut, kawasan tersebut kini dibanjiri para sukarelawan pula.
Mereka yang terdiri dari pelbagai organisasi, dan juga persendirian turun padang bagi membantu mangsa banjir membersihkan kediaman mereka yang terjejas.
Dalam tinjauan semalam, kawasan perumahan di Sungai Lui ini sangat sibuk dengan aktiviti bergotong-royong membersihkan kediaman penduduk di sini.
Dari segenap lapisan masyarakat, semuanya menyumbangkan masa dan tenaga semampu yang boleh.
Selain badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi bantuan dari segi kewangan, ada juga dari kalangan orang awam yang turun padang sebagai sukarelawan, termasuklah dari kalangan mahasiswa.
Wong Yun Yi, Sukarelawan berkata :
“for me, yes of course. Sebab sebelum ni saya rasa risau juga sebab saya pelajar, saya pun takde duit….at least to the owner itself is good enough for me”
Agnes Chan, Sukarelawan berkata :
“saya rasa the power of social media, jika tak boleh bantu financial….just share sahaja. The power of social media sekarang ni kan”
Muhammad Yusuf Sazali sebagai Sukarelawan turut berkata :
“mereka yang ditimpa musibah ni, Nampak lah dekat situ kita ni rakyat yang bersatu padu….masih ada yang peduli dengan masyarakat kita. Alhamdulillah lah untuk yang itu”
Akibat selut yang tebal selepas banjir, kerja-kerja pembersihan memang agak rumit dan perlu mengambil masa lebih dari sehari. Apatah lagi, banyak barangan kelangkapan rumah yang rosak terpaksa dibuang.
Mohd Fazli Abu Samah, Mangsa Banjir berkata bahawa :
“sebenarnya rumah ni rumah pusaka, jadi barang-barang mak saya yang paling banyak dalam ni….dia punya barang tu rare sikit, barang pusaka kan. Jadi tak tau nak nilai macamana”
Sementara membersihkan kediamannya, dia menumpang di rumah bersebelahan kerana kediaman jirannya itu lebih mudah dibersihkan berikutan selut yang tidak begitu tebal.
Oleh itu sejak beberapa hari lalu, dia bersama penduduk yang lain menumpukan membersihkan kediaman yang tidak begitu teruk terjejas, agar ada tempat menumpang bagi penduduk-penduduk lain.
Dalam pada itu, Yayasan Ikhlas turut mengalu-alukan sumbangan dari orang ramai, samada dari segi kewangan mahupun tenaga, terutamanya dalam persiapan menghadapi risiko gelombang kedua banjir.
Anas Rahman, Pengurus Pemasaran Yayasan Ikhlas juga berkata :
“sebelum ni kita, kalau ikut total kita dah menggerakkan lebih kurang 200 sukarelawan….dan insyaAllah lepas ni kita akan ke Pantai Timur”
Bilal Jailani, Timbalan Pengurus Besar Yayasan Ikhlas berkata bahawa :
“kita sasarkan kita nak capai sampai 2000 pada fasa kedua nanti….ada jambatan yang baru roboh, jadi kita semua bersiap siaga”