JUMAAT, 24 DISEMBER – Projek Canal City yang melibatkan projek tebatan banjir sepanjang 18 kilometer terowong menghubungkan Sungai Klang dan Sungai Langat dipercayai mempunyai kaitan dengan banjir yang berlaku ketika ini.
Projek yang bermula pada tahun 2007 itu bagaimanapun telah dibatalkan pada 2011 ketika Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri Selangor.
Semasa Februari 2011, Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan kerajaan negeri membatalkan projek Canal City kerana dianggap tidak memberi banyak manfaat kepada rakyat Selangor.
Lapor Malaysiakini, projek ini dibatalkan kerana hasil daripada laporan kajian ‘desktop study’ daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor memutuskan adalah tidak perlu untuk membangunkan projek tebatan banjir kerana keupayaan bagi kolam-kolam takungan banjir sedia ada adalah mencukupi.
Pembatalan projek ini juga telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada tahun 2010.
Pada tahun 2007, projek ini diluluskan kerajaan di bawah Barisan nasional yang melibatkan 1.9 ribu hektar tanah termasuk projek tebatan banjir yang menghubungkan Sungai Klang dan Sungai Langat yang dikatakan lebih kurang 18 kilometer sama seperti projek terowong smart.
Pada asalnya, projek itu diluluskan Barisan Nasional dengan melibatkan tanah seluas 1.9 ribu hektar termasuk projek tebatan banjir.
Projek Canal City mahu dilaksanakan berikutan masalah banjir yang dihadapi seperti di Bukit Jelutong, TTDI Jaya dan Taman Sri Muda dengan mengambil kira kejadian banjir kilat yang berlaku di Shah Alam pada Februari 2006.
Bagaimanapun ada cakap-cakap yang mengatakan projek ini dibatalkan sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor kerana dianggap tidak memberi banyak manfaat dan wujud korupsi.
Namun, projek seperti perumahan baru masih tetap diteruskan.
Pada ketika itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, melihat berlaku ketirisan dalam perjanjian jual beli dan mahu mengemukakan bukti yang ada kepada SPRM.
Beliau turut mendesak kerajaan Selangor segera memberi penjelasan berhubung perjanjian jual beli tanah projek Canal City yang dibuat ketika kerajaan sementara memerintah kerana beberapa keraguan dipercayai timbul dalam urusan penjualan tanah projek Canal City itu.