RABU, 22 DISEMBER – Seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat termasuk kumpulan sokongan telah digerakkan bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.
Ini termasuk penyediaan dan pengagihan makanan serta penugasan pegawai perhubungan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, aset-aset seperti trak 3, 5 dan 7 tan, Land Rover, bot tempur serta aset udara dari TUDM telah diatur gerak sekiranya diperlukan.
Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, ATM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekundernya bagi membantu pihak berkuasa awam dalam menyelamatkan mangsa yang terkesan akibat bencana banjir terutamanya usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.
Pada masa kini, kesiagaan anggota dan aset ATM melalui pelaksanaan Op Murni Tentera Darat Malaysia memberi tumpuan kepada beberapa kawasan terjejas di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.
ATM juga dalam kenyataan itu sentiasa meletakkan anggota dan asetnya pada kesiagaan utama untuk diaturgerakkan ke lokasi-lokasi terjejas di samping membantu pihak berkuasa awam dan agensi-agensi keselamatan lain yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).