RABU, 22 DISEMBER – Banjir besar yang melanda negara hujung minggu lalu sehingga kini telah meragut 34 nyawa di seluruh negara. Jumlah ini dianggap paling tinggi bagi angka korban banjir berbanding banjir besar tahun 2014.
Setakat ini, 20 nyawa terkorban adalah di negeri Selangor, manakala 11 lagi mangsa di Pahang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pagi tadi mengeluarkan amaran ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang sehingga jam satu tengahari, hari ini, di beberapa kawasan di Pahang, Johor dan Sabah.
Ketua polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata sehingga petang selasa lebih 20 individu telah dikenal pasti identitinya yang menjadi mangsa korban banjir di Selangor.
Menurut Arjunaidi, mayat mangsa korban juga turut ditemui di Kajang, Sungai Buloh, dan Klang serta Seksyen 25 Taman Sri Muda Shah Alam.
Antara kawasan yang terjejas teruk dilanda banjir, seksyen 25 Taman Seri Muda, sebanyak 12 mayat dijumpai pasukan penyelamat sejak Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat JBPM Selangor, Norazam Khamis turut melaporkan, antara enam mayat yang ditemukan dalam beberapa rumah melibatkan lima Wanita dan seorang lelaki, manakala tiga lagi mayat ditemui sekitar taman sri muda selepas penyurutan air.
Norazam berkata, seorang lagi mayat Wanita dipercayai mati lemas ditemukan pada jam 6.20 petang di sebuah rumah setingkat.
Tiga lagi mangsa lemas ditemui di sekitar bandaraya Shah Alam. Masing-masing dijumpai di lampu isyarat kemuning Utama, Seksyen 33 di Jalan Utama masuk ke Alam Idaman, Seksyen 22 pada Ahad lepas dan di bawah Lebuhraya Elite berhadapan MSU Seksyen 13 semalam.
Sementara itu di negeri Pahang, 11 mangsa korban setakat semalam direkodkan. Angka kematian juga dijangka meningkat ekoran beberapa mangsa yang masih belum ditemui dan dikhuatiri lemas.
Dua kematian direkodkan di Bentong, dua di Kuantan dan satu korban di Raub.