SELASA, 14 DISEMBER – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung sebuah filem berunsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dipercayai bakal ditayangkan untuk tontonan umum.
YADIM berkata, aduan itu dibuat susulan klip filem tempatan berjudul ‘Stay Away From Me’ yang menampilkan beberapa pelakon lelaki muda tular dalam media sosial baru-baru ini, dipercayai untuk menarik minat ramai.
Aduan itu telah disampaikan oleh pegawai YADIM kepada Unit Aduan Pengguna SKMM.
Selain itu, YADIM turut mengenal pasti aplikasi yang mempunyai unsur yang sama iaitu Blued:Gay Live Chat dan Dating dalam senarai App Store/Google Play Store.
Kenyataan itu mendapat perhatian dan perkongsian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad yang mengucapkan tahniah kepada YADIM di atas tindakan berkenaan.
Sebelum ini, Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada SKMM mengenai sebuah siri filem dalam bentuk kandungan digital yang dikatakan berunsur LGBT.
Beliau turut menggesa SKMM untuk memantau serta mengambil tindakan terhadap sebarang kandungan digital atau cetak yang berunsurkan budaya songsang itu.