RABU, 8 DISEMBER – Mahkamah Rayuan Persekutuan petang tadi menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu bagi dipertimbangkan dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, memutuskan demikian selepas mendapati Najib gagal menunjukkan bukti itu adalah perlu dan tiada keadaan istimewa bagi membolehkan ia diterima oleh mahkamah.
Mahkamah rayuan juga bersedia untuk menyampaikan keputusan rayuan Najib dalam kes SRC International pada Rabu, esok secara maya.
Sementara itu pada prosiding tengah hari tadi, pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak memohon penangguhan pendengaran untukmengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd yang dijadual didengar hari ini.
Ini susulan salah seorang pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu dilaporkan dijangkiti COVID-19.
Peguam utama pasukan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah melalui surat, yang didedahkan kepada media lewat malam tadi, bahawa salah seorang peguamnya didapati positif COVID-19 manakala yang lain telah menjadi kontak rapat.
Seorang pegawai mahkamah berkata, perbicaraan pagi ini bagaimanpaun diperintahkan diteruskan secara hibrid di mana panel hakim dan pihak pendakwaan akan berada di mahkamah terbuka manakala pasukan pembelaan akan mengambil bahagian melalui aplikasi Zoom.
Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar permohonan yang difailkan oleh Najib pada 1 Dis lalu, di mana Ahli Parlimen Pekan itu meminta mahkamah rayuan membenarkan dan mengarahkan bukti viva voce (bukti lisan) Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, antara lain, untuk diambil bagi tujuan rayuan Najib.
Bukti baharu itu yang didakwa Najib, antaranya membabitkan pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.
Najib membuat rayuan terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas tujuh kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, pada 28 Julai 2020.