KHAMIS, 8 DISEMBER – Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong dengan majoriti lebih besar melalui pencalonan pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Penyandang DUN Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais, berkata pihaknya menjangkakan majoriti yang mampu diraih Abang Johari antara 4,000 ke 5,000 undi.
Jelas beliau, Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016, ada lebih 7,087 pemilih di DUN Gedong dan Naroden menang dengan majoriti 3,365 selepas meraih 4,064 undi.
Jumlah pemilih kali ini ialah 7,208 dan pihaknya yakin akan dapat majoriti lebih besar antara 4,000 ke 5,000 undi. Keyakinan ini bersandarkan semangat jentera parti di peringkat cawangan, zon dan ranting.
Pada PRN kali ini, Abang Johari berpindah dari DUN Satok yang dipertahankan selama 40 tahun berturut-turut ke DUN Gedong yang merupakan kerusi luar bandar.
Mohd Naroden yang juga bekas Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan negeri memberi laluan kepada Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu bagi membolehkan pembangunan di kawasan luar bandar dipercepatkan.