SELASA, 7 DISEMBER – Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan bersidang pada Khamis ini, bagi memperincikan langkah jangka sederhana dan panjang dalam usaha kerajaan mengawal kenaikan harga barang keperluan serta kos sara hidup rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu akan turut meneliti langkah lebih menyeluruh dan bersepadu untuk menangani isu berkenaan.
Tindakan jangka sederhana dan panjang akan dibentangkan oleh kementerian-kementerian yang berkenaan pada mesyuarat itu.
Antara perkara akan dibincangkan ialah pergantungan kepada import, kos input makanan, isu buruh asing, skim subsidi, geran dan pinjaman mudah, teknologi pertanian serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Port Dikson Anwar Ibrahim mengenai kelewatan mesyuarat itu diadakan, Mustapa menjelaskan, kerajaan sudah mengambil tindakan segera melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam usaha mencari jalan segera menstabilkan harga barang keperluan.
Tahun lalu, mesyuarat jawatankuasa kenaikan harga ini yang dipengerusikan Menteri KPDNHEP sudah diadakan sebanyak dua kali. Tahun ini, sudah tiga kali mesyuarat diadakan oleh menteri berkenaan yang khusus kepada kenaikan harga ini, selain MAFI dan kementerian lain.