KHAMIS, 2 DISEMBER – Sebanyak 25 kes positif Covid-19 yang dikesan melalui saringan berkala di Parlimen berkemungkinan besar varian Delta.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua sampel dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.
Menurutnya, bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan jujukan genom dan masih menunggu keputusan penuh.
Kes yang dikenal pasti itu mempunyai kadar kebolehjangkitan dengan nilai ambang RT PCR antara 13.70 hingga 36.11.
Pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang melakukan siasatan dan pengesanan kontak rapat serta penilaian risiko bagi mengenal pasti punca jangkitan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, sepanjang Dewan Rakyat bersidang bermula 27 Oktober lalu, sebanyak 84 kes positif Covid-19 direkodkan.
Malaysia mencatatkan sebanyak 5,439 kes baharu, meningkat berbanding jumlah kes yang dilaporkan semalam. Angka itu membawa kepada jumlah keseluruhan kes sejak pandemik melebihi 2.6 juta kes.
Menurut data COVIDNOW, setakat semalam sebanyak 55 lagi kes kematian dilaporkan dengan angka kumulatifnya kini sebanyak 30,425.