ISNIN, 29 NOVEMBER – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik keahlian Darjah Kebesaran Selangor yang membawa gelaran Datin Paduka terhadap bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) OC Phang @ Phang Ai Tu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata ia susulan individu tersebut telah diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.
“Keahlian OC Phang sebagai penyandang darjah kebesaran itu ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada Oktober lalu kerana seorang yang tidak layak dan sesuai memegang darjah tersebut.”
– Datuk Haris Kasim sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Beliau berkata, keputusan itu bagi menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan selepas berunding dengan Dewan Diraja Selangor.
Menurut Datuk Haris, keahlian sebagai penyandang darjah kebesaran itu ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada Oktober lalu kerana seorang yang tidak layak dan sesuai memegang darjah tersebut.
Penarikan darjah kebesaran itu tambahnya, selari dengan kuasa Baginda Sultan Selangor di bawah Perkara 39 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Statut Darjah Kebesaran yang berkenaan.
Katanya, Sultan Selangor memandang berat tentang reputasi penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor terutama dalam kalangan pegawai terlibat dengan pertuduhan mana mana perlakuan tidak sihat dan tidak berintergriti seperti melakukan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.
Baginda juga memberi peringatan kepada semua pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan bahawa langkah wajar dan tindakan tegas hendaklah dilaksanakan bagi membendung gejala rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa, amalan tidak berintergriti dan masalah keberhutangan wang yang serius.