ISNIN, 29 NOVEMBER – Pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang merupakan parti komponen GPS dilapor meremehkan rancangan PAS bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.
Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah mempersoalkan mengapa PAS bersusah payah meletakkan calon sedangkan kebanyakannya akhirnya kehilangan wang deposit dalam PRN sebelum ini.
Jelas Abdul Karim, begitu juga dengan parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia, parti parti itu katanya harus kekal di sana dan tidak perlu ke Sarawak.
Pada PRN Sarawak 2016, PAS kalah kesemua 11 kerusi yang ditandinginya. 7 calon pula katanya telah kehilangan wang deposit mereka.
Awal bulan ini, PAS Sarawak berkata akan bertanding semula di 11 kerusi kali ini iaitu Kemena, Beting Maro, Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju. Parti itu kemudiannya mengatakan senarai itu tidak disahkan.
Pada Jumaat , Timbalan Presiden PAS Dati seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan parti itu sebenarnya akan bertanding pada PRN Sarawak 18 Dis tetapi berkata bilangan kerusi masih belum dimuktamadkan.