ISNIN, 29 NOVEMBER – Jika sebelum ini kecoh dengan kenaikan harga ayam, sayur-sayuran dan roti gardenia, kali ini kecoh dengan masakan kailan ikan masin yang dijual dengan harga RM18 sebungkus oleh seorang peniaga restoran di Pulau Pinang.
Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) terhadap peniaga berkenaan.
“Satu notis pengesahan maklumat barangan bagi makanan kailan ikan masin berharga RM18 telah diberikan kepada peniaga berkenaan dan peniaga itu perlu memberi maklum balas dalam tempoh 2 hari bekerja.”
-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang
Pejabat KPDNHEP dalam kenyataan ringkas memaklumkan pegawai penguatkuasa agensi itu sudah melakukan siasatan di restoran terbabit dan mengakui harga yang dijual terlalu mahal tidak setara kuantiti yang diberikan.
Katanya, satu NPMB bagi makanan kailan ikan masin berharga RM18 telah diberikan kepada peniaga berkenaan dan peniaga itu perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja.
Semalam tular di media sosial satu hantaran beserta resit memaparkan harga keseluruhan makanan yang dimuat naik seorang pelanggan restoran itu.
Dalam hantaran itu, individu terbabit terkejut apabila sebungkus kailan ikan masin untuk seorang makan dijual pada harga RM18 yang dianggap tidak masuk akal.
Kos keseluruhan makanan yang dibeli individu berkenaan berjumlah RM122 namun dia tidak mendedahkan nama restoran berkenaan.