ISNIN, 29 NOVEMBER – Pertembungan antara DAP dan PKR untuk menyaingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka tidak dapat dielak di beberapa kawasan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN 12), 18 Disember depan.
Difahamkan, Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen, dikatakan memungkiri keputusan mesyuarat Khamis lalu supaya isu pembahagian kerusi antara tiga parti dalam Pakatan Harapan (PH) Sarawak dibawa dalam rundingan Majlis PH Pusat.
“Jika persetujuan gagal dicapai menjelang hari penamaan calon, pertembungan dijangka berlaku antara dua parti pembangkang dari Semenanjung itu.”
– Abang Zulkifli Abang Engkeh, Pemangku Pengerusi PKR Sarawak,
Ia susulan tindakan Chieng Jen mengumumkan senarai calon DAP bagi 18 kawasan semalam, dengan empat daripadanya menjadi perhatian PKR iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena, Senadin, Pujut dan Piasau.
Pemangku Pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, berkata jika persetujuan gagal dicapai menjelang hari penamaan calon, pertembungan dijangka berlaku antara dua parti pembangkang dari Semenanjung itu.
Semalam, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak dalam satu kenyataan mendakwa DAP Sarawak enggan berunding secara terbuka dan telus berhubung pembahagian kerusi pada PRN-12 Sarawak.
Kenyataan itu menyebut, PKR cuba berjumpa dengan pimpinan tertinggi DAP Sarawak sejak beberapa bulan lalu untuk membincangkan isu yang berkenaan namun ditolak.