ISNIN, 29 NOVEMBER – Barisan Nasional (BN) pula tidak akan menurunkan sebarang calon dalam (PRN) Sarawak pada 18 Disember depan.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, BN merupakan rakan akrab Gabungan Parti Sarawak (GPS), justeru ia tidak akan menyainginya.
Jelas Annuar, pihaknya sudah memiliki GPS yang disokongi kuat oleh rakyat Sarawak, dan sebuah kerajaan yang sangat berprestasi tinggi.
Jadi tidak ada sebab untuk BN bertanding walaupun keadaan ini buat pertama sekali dalam sejarah pilihan raya, sejak merdeka, BN tidak menyertainya. Tegasnya, ini merupakan bukti muafakat dan kerjasama antara BN dengan pimpinan GPS di Sarawak.
Annuar berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa pihak yang tanpa autoriti menaikkan panji dan poster, menggambarkan BN akan bertanding dalam PRN Sarawak.
Pada PRN Sarawak 2016, BN Sarawak menang 72 daripada 82 kerusi yang ditandingi.
Bagaimanapun, berikutan kekalahan BN dalam PRU 2018, BN Sarawak dibubarkan dan parti komponennya sepakat menubuhkan entiti politik baharu yang dikenali sebagai GPS.