KHAMIS, 25 NOVEMBER – Gabungan Parti Sarawak dilihat bakal memberi kelebihan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada 18 Disember ini.
Penolong Setiausaha PAS Sarawak, Syamsul Bahrie Mohamad berkata, ini kerana Pakatan Harapan dalam keadaan tergugat berikutan kegagalan PRN Melaka yang memberi kesan kepada gabungan itu di Sarawak.
“Sebelum ini beberapa pemimpin PH mengambil keputusan untuk keluar parti dan krisis ini akan memberi kelebihan kepada GPS.”
– Syamsul Bahrie Mohamad, Penolong Setiausaha PAS Sarawak
Menerusi Astro Awani, beliau berkata mesej rakyat sudah jelas dan sudah tentu rakyat mahu kerajaan yang stabil. Tambahnya, sebelum ini beberapa pemimpin PH mengambil keputusan untuk keluar parti dan krisis ini akan memberi kelebihan kepada GPS.
Bagaimanapun katanya, penggunaan lambang baru GPS akan memberi cabaran kepada mereka.
Menurut Syamsul keseimbangan antara calon muda dan senior yang diketengahkan GPS menjadi nafas baharu dalam lanskap politik Sarawak akan datang.
Tambahnya, pembangunan di Sarawak akan berkembang secara holistik dengan pimpinan yang meliputi pelbagai generasi.