RABU, 24 NOVEMBER – Tiada keperluan untuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu daripada Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, BN tidak berada dalam kedudukan yang memerlukan parti itu untuk membawa masuk dua ADUN berkenaan sebagai ahli Exco dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.
Jelas Tok Mat tiada keperluan ADUN dari Perikatan Nasional berada dalam barisan Exco Melaka. Beliau menjawab ura ura mengenai 2 ADUN dari PN akan berada dalam exco kerajaan negeri Melaka.
Tambahnya lagi, belum ada keperluan BN untuk mengisi kekosongan yang ada dalam exco kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Sembilan di Seri Sendayan, malam tadi.
Dalam laporan media sebelum ini, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, kedudukan dua ADUN PN dalam barisan Exco belum diputuskan.
Sulaiman berkata, perkara berkenaan perlu melalui perbincangan bersama pucuk kepemimpinan BN dengan mengambil kira senario parti itu yang bertanding secara solo dalam PRN Melaka.
Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno dan Pengarah Pilihan Raya BN berkata, bukan menjadi satu kejanggalan sekiranya persefahaman dan kerjasama antara parti berlaku di peringkat Persekutuan namun tidak pula di peringkat negeri.