
Mantan Ketua Menteri Omar Abdullah bercakap kepada polis ketika demonstrasi menuntut keadilan kepada dua orang awam yang dibunuh.
JUMAAT, 19 NOVEMBER 2021 : Pihak berkuasa India yang mentadbir Kashmir mengarahkan siasatan dijalankan berhubung pembunuhan dua orang awam ketika operasi pasukan keselamatan.
Ia susulan tindakan ganas pihak polis sebelum itu ketika cuba menyuraikan protes bagi menuntut mayat mangsa dikembalikan kepada keluarga mereka.
Menurut polis, lelaki terbabit maut dalam tembakan di luar sebuah kompleks komersial di Srinagar.
Keluarga mangsa mendawak menuduh pasukan keselamatan bertindak membunuh orang awam dengan kejam.
Mereka turut menafikan dakwaan polis bahawa dua mangsa berkenaan terbabit dengan kumpulan militan.
Manoj Sinha, yang merupakan lantikan New Delhi dan berkhidmat sebagai pentadbir tertinggi Kashmir India berkata, kerajaan akan mengambil tindakan yang sesuai sebaik sahaja laporan mengenai insiden itu selesai.
Kematian Mohammad Altaf Bhat dan Mudasir Ahmed Gul dua hari lalu mencetuskan kemarahan di wilayah itu, di mana berpuluh-puluh orang awam terbunuh tahun ini dalam keganasan di situ.
Bhat memiliki bangunan di lokasi kejadian manakala Gul adalah penyewa di kompleks yang menjalankan perniagaan hartanah.
Dua yang lain turut maut dalam pertempuran itu.
Polis menyerbu upacara menyalakan lilin di Srinagar yang diadakan oleh ahli keluarga mangsa bagi menuntut mayat mereka dikembalikan untuk pengebumian mengikut amalan agama sewajarnya.