KHAMIS, 18 NOVEMBER – Poster berbentuk provokasi mendesak peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mula digantung di beberapa lokasi sekitar Melaka sejak malam tadi, dipercayai selepas akar umbi tidak berpuas hati dengan Presiden UMNO tersebut.
Poster itu tertera menyalahkan Zahid sebagai punca Pilihan Raya Negeri PRN Melaka kali ini diadakan apabila gagal menyelesaikan perbalahan sesama pemimpin UMNO di negeri itu membabitkan projek pasir.
Poster itu turut memaparkan logo UMNO, Barisan Nasional (BN) dan wajah presiden parti itu sendiri.
Memetik laporan agenda daily, poster-poster itu digantung di beberapa kawasan berhampiran tempat lokasi poster parti bertanding dipasang, antaranya di Sungai Udang dan Alor Gajah.
Sebelum ini, media melaporkan, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mendakwa, terdapat pemimpin UMNO di Melaka terbabit dalam penyelewengan royalti pasir menyebabkan beliau bersama 3 bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.