KHAMIS, 18 NOVEMBER – Agak menghairankan apabila tindakan tegas terhadap aktiviti judi dan arak dikatakan sebagai mencabuli prinsip pembinaan negara bangsa.
Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Doktor Ahmad Sanusi Azmi berkata, tindakan kerajaan negeri Kedah yang bertegas menghentikan pengeluaran lesen judi dan arak adalah tindakan yang wajib disokong.
“Pada hakikatnya, tindakan kerajaan negeri Kedah yang bertegas menghentikan pengeluaran lesen judi dan arak adalah tindakan yang wajib disokong. Ia bertepatan dengan saranan Al-Quran dan Hadis.”
– DR AHMAD SANUSI AZMI / Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, USIM
Beliau berkata, tindakan kerajaan negeri Kedah itu bertepatan dengan saranan al-Quran dan hadis malah langkah ini pernah dilaksanakan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz dahulu.
Namun apa yang menghairankan katanya, terdapat dalam kalangan pimpinan muslim sendiri yang membantah tindakan penguatkuasaan tegas terhadap judi dan arak tersebut sedangkan Rasulullah amat membenci arak dan judi kerana penghasilan dan penyebaran arak ini adalah perlakuan yang amat terkutuk boleh memberi ancaman pada negara sehingga mereka yang melakukannya dilaknat oleh Allah dan Rasul.
Tambah Ustaz Sanusi, tidak sepatutnya timbul isu mempersoalkan tindakan mengawal penjualan arak dan judi ini oleh seorang Muslim
Keterikatan seseorang dan ketaksuban mereka kepada parti tertentu akhirnya membawa dirinya untuk mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan prinsip Islam.
Ustaz Sanusi berkata demikian memberi respond kepada Lim Kit Siang yang mengajak orang ramai menolak calon PAS, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional memandangkan PAS telah mengharamkan aktiviti perjudian di Kedah dan membangkitkan isu mengenai arak.