RABU, 17 NOVEMBER – Gara-gara rimas dengan lambakan bendera serta kain rentang parti-parti politik yang digantung sekitar kawasan perumahan, seorang pemandu lori bertindak mencabut bahan kempen itu sebelum dikesan pihak polis di Taman Melaka Perdana, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.54 malam Isnin, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk disoal disiasat.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali bagaimanapun berkata, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan dan siasatan mendapati tindakan khianat individu itu tiada sebarang kaitan dengan elemen mana-mana parti politik
Hasil soal siasat mendapati tujuan lelaki tersebut melakukan perbuatan itu adalah kerana pemasangan bendera dan ‘banner’ yang digantung telah menghalang pemandangan pengguna jalan raya yang ingin keluar dan masuk ke simpang jalan.
Pemeriksaan pihak polis juga telah menemui 8 batang bendera berlogo Pakatan Harapan (PH), 4 batang bendera Perikatan Nasional (PN) serta 14 batang bendera Barisan Nasional (BN) dan suspek juga mengakui tujuan beliau berbuat demikian tiada kaitan dengan elemen politik.