RABU, 17 NOVEMBER – Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia TUDM, Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustami yang maut dalam nahas pesawat Hawk malam tadi merupakan penerima Anugerah Green Endorsement TUDM pada minggu lalu.
Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan kerana kejayaan juruterbang mengawal pesawat untuk berhenti dengan selamat tanpa kemudaratan.
Pengiktirafan itu disampaikan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad di Subang Jaya.
Menurut laporan di portal rasmi TUDM, Anugerah itu diterima Mohamad Affendi menerusi anugerah inovasi TUDM.
Sementara itu, jenazah Allahyarham selesai dibedah siasat kira-kira jam 9 pagi ini di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Allahyarham dijangka dikebumikan di kampung halamannya di bandar Muadzam Shah, Pahang.