
Jawatankuasa Khas itu diwujudkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya berhubung kes kematian Muhammad Adib. – Gambar fail
SABTU, 13 NOVEMBER – Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat secara teliti kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim kini dianggotai oleh pakar undang-undang, patologi forensik dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mengumumkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Kamardin Hashim dan Perunding Kanan Patologi Forensik Penang Medical College Datuk Dr Bhupinder Singh sebagai anggota Jawatankuasa Khas itu.
Ia juga dianggotai Profesor Ulung Fakulti Perubatan Universiti Malaya Datuk Prof Dr Looi Lai Meng; pakar kriminologi Datuk Dr P. Sundramoorthy; Ketua Penolong Pengarah (D10) Forensik PDRM SAC Azari Abd Rahman serta Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan PDRM SAC Mohammad Abd Hamid.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Oktober lepas bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas tersebut bagi memastikan pembelaan sewajarnya dibuat terhadap kes kematian Muhammad Adib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebuah Jawatankuasa Khas akan diwujudkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya berhubung kes kematian Muhammad Adib.
Ismail Sabri berkata, Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Wan Junaidi itu dianggotai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri akan menjadi urus setia bersama Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi Jawatankuasa Khas itu.
“Memorandum Jemaah Menteri berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas ini termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.