JUMAAT, 12 NOVEMBER – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) membuat penampilan sulung dengan meletakkan lima calonnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Calon diketengahkan parti terbabit dalam mendepani PRN dengan tumpuan kerusi di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka mampu menarik sokongan pengundi, khususnya kaum Melayu.
Pengerusi Perhubungan PUTRA Melaka, Dr Aluwi Sari, akan bertanding di kerusi DUN Pengkalan Batu diikuti Ketua Wira PUTRA negeri, Mohamad Hashidi Mohd Zin, 32 (Paya Rumput); Nazatul Asyraf Md Dom, 38 (Sungai Rambai); Ketua Biro Wanita PUTRA Melaka, Laila Norinda Maon, 44 (Gadek) dan Ketua Bahagian PUTRA Melaka, Mohd Faizal Amzah (Duyong).
Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali, berkata semua calon berkenaan dipilih berdasarkan beberapa kriteria termasuk latar belakang pendidikan, usia serta komitmen mereka dalam mendukung perjuangan parti itu sebagai alternatif kaum Melayu dan Bumiputera.
Paling utama, katanya, adalah rekod bersih calon meskipun masih belum pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Semua calon yang dipilih adalah terdiri daripada golongan profesional dan korporat selain usia semua calon yang dilihat sangat seimbang dan sesuai untuk menjadi wakil rakyat.